Thursday, March 25, 2010

Mengatasi Masalah Anak-Anak Yang Nakal, Degil Dan Suka Melawan Cakap Ibu Bapa
saya pernah ke Darussyifa' dan ingin berkongsi pengalaman ketika berada di sana... >>

Secara fitrahnya semua ibu bapa mahukan anak-anak yang menghormati ibu bapa, mentaati hukum agama, sentiasa menjauhi maksiat serta tidak terjebak dengan gejala sosial.

Pengalaman saya dan kawan2 di Darussyifa’ sering bertemu dengan ibu bapa yang mengadu tentang anak-anak mereka yang terjebak dengan gejala sosial seperti anak-anak yang lari dari rumah, bergaul dengan remaja yang rosak akhlak, berzina, menagih dadah, melawan ibu-bapa, kasar serta biadab dengan ibu bapa dan seumpamanya.

Ibu bapa yang datang ke Darussyifa’ ini meminta perawat mengikhtiarkan sesuatu supaya anak-anak mereka boleh dipulihkan. Di antara yang biasa dilakukan oleh perawat ialah;

Kaedah Pertama:

Membaca doa-doa tertentu pada air seperti Surah al-Fatihah, Doa Pelembut Hati (Surah Taha ayat 1 hingga 5), Selawat Syifa’, Selawat Tafrijiyah, Doa Menghindar Maksiat (Surah al-Mu’min ayat 3) dan beberapa doa-doa yang lain. Air yang telah dibacakan dengan doa ini diberi minum kepada anak-anak yang bermasalah ini juga dibuat bilasan mandi.

Kaedah Kedua:

Satu lagi ikhtiar yang sangat mujarab bagi mengatasi anak-anak yang suka melawan ibu-bapa ialah dengan mandikan anak-anak ini dengan air tadahan lebihan wuduk ibu-bapa. Caranya seperti berikut;

1. Ibu dan bapa terlebih dahulu membersihkan semua anggota wuduk dengan sabun. Anggota-anggota wuduk ini termasuk yang rukun dan sunat iaitu mulut, hidung, muka, kedua tangan, kepala, kedua-dua telinga dan kaki hingga buku lali.

2. Setelah dibersihkan anggota-anggota wuduk tersebut, gunakan air biasa untuk mengambil wuduk.

3. Cara yang mudah, duduk di atas kerusi dan letakkan baldi di bahagian antara kedua belah kaki. Biar isteri tolong menuangkan air untuk mengambil wuduk.

4. Membasuh semua anggota wuduk tiga kali. Mulakan dengan membaca bismillah. Basuh kedua belah tapak tangan diikuti dengan berkumur-kumur, membersihkan hidung. Pastikan air yang telah digunakan untuk membasuh tapak tangan dan berkumur-kumur masuk ke dalam baldi.

5. Berniat mengambil wuduk diikuti membasuh muka, seterusnya membasuh kedua tangan hingga ke siku, menyapu sedikit air di bahagian kepala, membasuh telinga dan akhir sekali membasuh kedua belah kaki hingga ke buku lali.

6. Setelah suami selesai, isteri pula mengambil wuduk dengan cara yang sama manakala suami pula yang membantu menuangkan air.

7. Setelah selesai, air lebihan wuduk yang terkumpul di dalam baldi tersebut dicampurkan dengan air biasa.

8. Mandikan anak-anak yang bermasalah dengan air tersebut. Insya’Allah dia akan menjadi anak yang patuh kepada kedua ibu-bapanya.


Pencegahan Awal

Daripada pengamatan penulis serta kajian yang telah dibuat, lebih 90% ibu-bapa yang datang mengadu anak mereka bermasalah, apabila diperdengarkan doa berikut, mereka kata tidak pernah pun mendengar doa ini. Doa tersebut adalah seperti berikut;

Doa Jumak 1

Terjemahannya: Ya Allah, jauhkan syaitan daripada kami dan jauhkan syaitan daripada anak yang akan Engkau anugerahkan kepada kami.

*selalu nye doa ni dibaca sebelum melakukan hubungan,supaya benih yang masuk kedalam rahim ibu tidah di ganggu syaitan.. tp tidak mengapa untuk diamal kan selalu, kite kan digalak kan berdoa kepada yang maha kuasa....

Friday, March 19, 2010

Zaffa diPagi Hari......

Firman Allah SWT:

“...dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya).”

(Surah al-Hasyr 59:7)

Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT yang telah memberikan kita kesempatan meneruskan hidup sebagai khalifah-Nya di bumi ini. Seterusnya diberikan pula kesempatan untuk menyambut Maulidur-Rasul bagi tahun 1431H pada kali ini.

Allah SWT mengutus para nabi dengan tujuan untuk mengajak manusia mengabdikan diri kepada-Nya. Para nabi tidak diutus semata-mata untuk mengajar manusia membangunkan bumi ini semata-mata, tetapi apa yang lebih penting ialah bagaimana menyelamatkan diri di akhirat kelak.

Di atas dasar itulah, para nabi termasuklah Nabi Muhammad saw diutus oleh Allah SWT. Lantaran itu, kebangkitan Rasulullah saw adalah untuk memastikan umat manusia hidup di dalam dakapan hidayah berpaksikan kepada keimanan dan ketakwaan.

Sehubungan dengan itu, sambutan Maulidur-Rasul tidak boleh hanya sekadar memperingati tarikh lahir baginda semata-mata, ia tidak boleh terhenti setakat perayaan dan majlis-majlis keramaian sahaja. Lebih jauh lagi, ia perlu diiringi dengan kehendak untuk mematuhi sunnah Rasulullah saw.

Semangat Maulidur-Rasul tidak boleh hanya hidup pada bulan ini sahaja, tetapi ia perlu untuk terus hidup setiap hari dan sepanjang tahun.

Ia tidak boleh disambut dengan perarakan yang besar dan hebat semata-mata dengan menepikan hasrat sebenar dari kebangkitan Rasulullah saw iaitu mengajak manusia beriman dan melaksanakan perintah Allah SWT.

Semoga Allah SWT memberikan kita ganjaran di atas segala amalan kebaikan yang kita lakukan. Salam Maulidur-Rasul 1431H dari INAMI FAMILY.....

Keutamaan Berselawat dan Kelebihannya

KEUTAMAAN BERSELAWAT KE ATAS NABI MUHAMMAD S.A.W

Setiap umat Islam berkewajipan mengasihi atau mencintai Allah dan Rasulullah. Bukti seseorang itu berbuat demikian ialah dengan mengerjakan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Umat Islam kini memang banyak mengakui beriman kepada Allah dan mengasihi Rasulullah. Tetapi sejauh manakah kebenaran pengakuan itu, jika terus enggan mengerjakan suruhan-suruhan Allah dan berselawat kepada Rasulullah?

Berselawat kepada Nabi Muhammad adalah salah satu bukti kecintaan seseorang itu kepada Allah dan Rasulullah. la tidak sewajarnya dipandang ringan oleh setiap umat Islam. Ini sesuai dengan kedudukan selawat itu sendiri yang memiliki berbagai keistimewaan dan kelebihan di sisi Allah.

Makna secara umum selawat adalah jamak dari kalimat solat. Di segi bahasa pula, ia bererti doa, rahmat dari Allah, memberi berkah dan ibadat. Dalam pengertian yang lebih luas, berselawat kepada Nabi Muhammad bererti memperbesarkan, mengagungkan serta mendukung perjuangannya yang mulia, di samping melahirkan rasa syukur atas perutusannya yang menjadi rahmat seluruh alam ini, malah menambahkan keyakinan beramal dengan sunnahnya yang diredhai Allah.

Sejajar dengan itu, selawat kepada Nabi Muhammad merupakan ibadah yang mulia dan terpuji. la mengandungi berbagai-bagai kelebihan dan mendapat pertolongan dan perlindungan yang istimewa dari Nabi Muhammad serta memperolehi ganjaran yang besar dari Allah di hari akhirat kelak.

اِنَّ اللهَ وَمَلَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا

Yang bermaksud, Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (member segala penghormatan dan kebaikan) kepada nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya .

(Surah al-Ahzab-56)

KELEBIHAN BERSELAWAT KE ATAS NABI MUHAMMAD S.A.W

Al-Sheikh Abdul Kadir Al-Jelani Al-Hasani, Quddisa sirruhu menyatakan tentang kelebihan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. di dalam kitabnya al-Safinah al-Qadiriyyah. Beliau meriwayatkan daripada Ibnu Farhun berkata: Berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. itu mempunyai empat puluh dua kelebihan.Hal ini tertulis di dalam kitabnyaHadaiq al-Anwar’:-

1. Melaksanakan perintah Allah.

2. Bersamaan dengan selawat Allah kepada Rasulullah s.a.w.

3. Bersamaan dengan selawat para malaikat.

4. Mendapat ganjaran sepuluh kali selawat daripada Allah atas setiap kali selawat yang diucapkan (selawat daripada Allah bererti rahmat).

5. Dikurniakan oleh Allah sepuluh darjat atas tiap-tiap satu selawat.

6. Dituliskan oleh malaikat sepuluh kebaikan atas setiap selawat.

7. Dihapuskan oleh Allah sepuluh kejahatan atas setiap selawat.

8. Segala doa akan diperkenankan oleh Allah.

9. Mendapat syafaat daripada Rasulullah s.a.w.

10. Mendapat keampunan Allah serta akan ditutup segala keaiban.

11. Allah akan menutupi segala dukacita.

12. Dikurniakan maqam hampir kepada Rasulullah s.a.w.

13. Mendapat darjat al-Sidq.

14. Ditunaikan segala hajat.

15. Salam sejahtera pada hari kiamat.

16. Allah dan para malaikat akan berselawat ke atas individu yang berselawat.

17. Mendapat khabar gembira daripada Allah dengan balasan syurga.

18. Salam sejahtera pada huru-hara hari kiamat.

19. Rasulullah s..a.w. akan menjawab secara langsung ke atas setiap selawat yang dibacakan.

20. Mudah mengingat semula perkara-perkara yang lupa.

21. Mendapat kedudukan yang baik pada hari kiamat serta tidak akan kecewa pada hari itu.

22. Tidak akan merasai fakir.

23. Terpelihara daripada dihinggapi sifat bakhil.

24. Mendapat kesejahteraan daripada doa rasulullah s.a.w. kepada yang berselawat.

25. Selawat akan menjemput setiap pengucapanya ke jalan syurga.

26. Menjauhkan seseorang itu daripada terlibat dalam majlis-majlis yang tidak disebut padanya nama Allah dan Rasul-Nya atau daripada majlis-majlis lagha.

27. Berselawat menyempurnakan kalam pujian Allah apabila disebut (di dalam doa), maka akan disambut selepas itu dengan kalimah selawat ke atas Nabu Muhammad s.a.w.

28. Selamat melintasi titian Sirat al-Mustaqim pada hari kiamat.

29. Disambut oleh Allah pada hari kiamat dengan kata-kata pujian yang lunak.

30. Mendapat balasan rahmat yang luas daripada Allah.

31. Mendapat keberkatan daripada Allah.

32. Mendapat kesempurnaan iman.

33. Kasih dan cinta kepada Rasulullah s.a.w.

34. Mendapat hidayah Allah dan dikurniakan hati yang sentiasa hidup mengingati Allah.

35. Setiap selawat yang dibaca akan dibentangkan dihadapan Rasulullah s.a.w. secara langsung.

36. Teguh pendirian dengan kebenaran.

37. Berselawat bererti kita menggunakan sebaghagian hak-hak Rasulullah s.a.w. ke atas diri kita. Disamping itu ianya dianggap sebagai mensyukuri nikmat Allah yang mengurniakan dan mengutuskan Rasulullah s.a.w. kepada kita.

38. Berselawat juga bererti zikrullah, bersyukur serta mengikut segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah.

39. Berselawat bererti melengkapkan pengertian berdoa dan memohon kepada Allah, ke atas Rasulullah s.a.w. dan kepada diri sendiri.

40. Antara kelebihan yang paling hebat kepada setiap individu ialah akan terjelma gambaran Rasulullah s.a.w. di dalam jiwanya.

41. Dikurniakan oleh Allah maqam seorang Syeikh dan Murabbi.

42. Mendapat kebahagiaan, ketenangan hidup didunia dan akhirat.

Antara hadis-hadis yang menyatakan tentang kelebihan selawat ke atas Rasulullah ialah:

“Barang siapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat. ” -(Riwayat Tabrani)

“Barang siapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barang siapa berselawat kepadaku dari jauh maka, selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya.-(Riwayat Al Baihaqi dan Al Khatib)

“Barang siapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapuskan sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.” -(Riwayat Ahmad, Nasai dan Al Hakim)

Dari Ubai bin Ka ‘ab: “Aku bertanya, wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku memperbanyakkan selawat, maka berapakah aku jadikan untukmu dari selawatku? Nabi bersabda: Apa yang kamu kehendaki. la berkata: kataku: “Seperempat.” Sabda Nabi: “Apa yang kamu sukai dan jika kamu tambah maka itu yang lebih baik bagi kamu.” Kataku: “Apakah sepertiga? ” Sabda Nabi: “Apa yang kamu sukai, jika kamu tambah itulah yang lebih baik bagi kamu.” la bertanya: “Apakah aku jadikan selawatku buatmu semuanya.” Nabi bersabda: “Jika demikian maka dicukupilah cita-citamu dan diampuni dosamu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi dan Al Hakam)

“Berselawatlah kamu kepadaku, kerana selawat itu menjadi zakat (penghening jiwa pembersih dosa) bagimu.” -(Riwayat Ibnu Murdawaih)

“Barang siapa berselawat kepadaku dalam sehari seratus kali, maka Allah mendatangkan baginya seratus hajat, tujuh puluh untuk akhirat dan tigapuluh untuk dunianya. ” (Riwayat Ibnu Majar dan Jabir)

“Barang siapa berselawat kepadaku dalam sehari seribu kali, maka ia tidak akan mati sehingga ia digembirakan dengan syurga.” -(Riwayat Abus Syaikh dari Anas)

“Orang yang bakhil ialah yang bila disebut namaku kepadanya, lalu ia tidak mahu berselawat kepadaku. -(Riwayat Tirmizi)